‘Biarlah ayah tak nak balik, satu hari nanti dia pasti balik cari mak & waktu itu mak dah tak ada’

2 March 2017 | 3:12 am

Gambar sekadar hiasan sahaja | Google Images

Assalamualaikum. Saya ingin berkongsi kisah yg berlaku pd keluarga saya. Semoga menjadi iktibar kita bersama. 

Sewaktu menulis kisah ini, hati terasa sedih sgt. Teringat arwah mak & segala derita yg arwah mak tanggung sebelum dijemput Ilahi. Saya msh ingat kata-kata arwah mak.

“Biarlah ayah tak nak balik. Satu hari nanti dia pasti balik. Bila orang dah buang dia, masa itu dia akan cari mak balik. Tapi waktu dia cari mak tu, mak dah tak ada..”

Ayah saya mempunyai tiga orang isteri. Arwah mak, isteri pertama, manakala isteri kedua & isteri ketiga yg dikahwininya mungkin tahun yg sama cuma berbeza bulan saja. Kerana anak isteri kedua & anak isteri ketiga hanya beza setahun saja tarikh lahir mereka.

Ayah berkahwin secara rahsia dgn isteri kedua & ketiga ketika saya berumur 9 tahun (mengikut perkiraan beza umur saya dgn anak ayah dr isteri 2 & 3). Ayah pd waktu itu baru lepas pencen askar & duit msh banyak. 

Sejak berkahwin dgn isteri kedua & ketiga, ayah langsung tak pulang ke rumah. Hanya pulang sekejap saja ke rumah & itupun sebulan sekali untuk beri duit belanja RM50 sebulan, serta untuk bayar sewa rumah lebih kurang RM120/sebulan.

Saya langsung tak sempat berbual dgn ayah kerana dia hanya menjengah dr luar pintu, beri ikan & sayur, bersama duit belanja. Mak sudah lama mengsyaki ayah berkahwin lain, tetapi ayah tak mengaku. Kami adik beradik pun tak percaya cakap mak kerana lebih percaya pd ayah. Ayah bagi alasan tempat kerja baru ayah jauh. Jadi ayah tak boleh nak pulang ke rumah selalu.

Duit belanja yg ayah beri tak cukup. Saya tak pernah ada duit belanja sekolah & makanan rutin kami bawang, cili kering yg dipotong, ditumis makan dgn nasi. 

Sewaktu kecil saya tak terfikir kenapa lauk nasi kami hanya bawang & cili kering. Kami tak pernah tanya mak. Mak jg tak pernah cerita. Apa yg saya ingat, mak secara sembunyi-sembunyi kerja jadi tukang masak di kantin sekolah. Dapatlah RM15 sehari. Mak suruh kami semua rahsiakan & jangan beritahu ayah sebab takut ayah tak balik hantar duit dah.

Perangai ayah memang pelik, macam banyak sgt benda yg dirahsiakan. Ayah ada suruh adik ambil cop sekolah kerana nak beli komputer guna duit KWSP. Tapi komputer itu tak dapat pd kami. Ayah beria-ria cerita pd kami yg dia nak beli rumah di kampung. Tetapi tak pernah bawa kami untuk melihatnya. Ayah tak pernah sambut raya dgn kami. Kali terakhir beraya dgn ayah ketika umur saya 9 tahun. Alasan ayah terpaksa kerja di pagi raya. Ayah jadi orang yg paling kedekut duit & dia marah kalau kami minta duit.

Sehingga saya berumur 16 tahun. Barulah ayah menceritakan segala-galanya. Ayah mengaku pd mak & mak yg cerita pd kami. Waktu itu, saya berada di asrama penuh & memang tak boleh terima kenyataan itu. Rupa-rupanya selama ini ayah berkahwin banyak. Patutlah minta duit asyik kena marah. 

Patualah ayah tak pernah balik rumah, tak pernah balik raya bagai. Lebih menyakitkan hati bila tengok isteri ketiga ayah pakai kereta Honda, hidup mewah. Sedangkan kami cuma ada sebuah basikal yg mak gunakan untuk hantar & ambil kami dulu sewaktu di sekolah rendah, yg mak guna untuk jadi tukang masak kantin. Ayah beri alasan kononnya itu duit isterinya. Kereta itu dia bayar kongsi-kongsi dgn isteri ketiganya kerana itu nafkah wajib dia. 

Saiz rumah kami besar stor saja tetapi rumah isteri ketiganya siap ada sofa, tv besar, katil bagai. Ya saya sebut semua ini sebab rumah saya hanya ada tikar getah. Saya selalu bergaduh dgn ayah bila mana saya minta duit untuk belanja, kerana selepas ayah mengaku berkahwin banyak dia semakin susah nak bagi duit belanja rumah. Kalau dulu tak perlu telefon, tapi selepas dia mengaku asyik kena telefon banyak kali untuk meminta duit belanja sampai kena marah.

Waktu itu, hidup kami susah sikit sebab mak dah tak boleh kayuh basikal pergi kerja di kantin. Abang pula tak belajar tinggi. Kerja yg diperolehi pun mengikut sijil SPM saja. Kakak keluar universiti tapi tak ada rezeki kerja elok, hanya jaga taska. Isteri kedua ayah pun katanya merajuk. Hidup isteri kedua ayah pun lebih kurang malang seperti kami. Dia lari pulang ke Sarawak & bawa semua anak bersamanya.

Sewaktu saya berumur 21 tahun & sdg belajar di universiti ketika itu, mak meninggal dunia secara tiba-tiba. Sejak mak meninggal dunia, hidup saya semakin huru hara. Ayah langsung tak hantar duit belanja. Paling sedih ayah suruh saya tinggal dgn kakak atau dgn abang. Kata ayah dia tak nak lagi bayar sewa rumah. Membazir katanya sebab saya tinggal seorang. 

Saya dgn adik yg baru habis SPM, jiwa muda, msh mentah & jg kuat memberontak memang dia banyak menghabiskan masa di luar rumah dgn geng-geng motosikal. Saya tak dapat nak fokus belajar. Keputusan peperiksaan semester pd tahun itu jg teruk. 

Namun saat ‘down’ saya & adik tak lama, Allah beri kekuatan untuk bangun tanpa mak & tanpa ayah. Ayah langsung tak ambil tahu tentang kami. Saya & adik bagai dibuang terus dr hidup ayah. Waktu itu hanya kakak & abang sahaja tempat kami bergantung. jg turut banyak dibantu oleh makcik, adik kedua mak. Orang lain kerjanya hanya mengutuk ayah, tanpa membantu kami. yg mereka tahu hanya merendah-rendahkan keluarga kami & bercakap buruk tentang ayah. Kalaulah kami boleh kenyang dgn kritikan mereka, dah lama kami gemuk. Setiap hari makan kutukan.

Selesai degree, saya sambung master. Sewaktu saya suarakan niat untuk sambung master, isteri ketiga ayah orang pertama yg membangkang. Dia suruh saya berkerja

“Sampai bila nak tanggung biawak hidup?” katanya.

Ayah tak cakap banyak, ayah cuma kata kalau saya nak sambung belajar, cari duit sendiri. Saya sedih sgt. Tapi hati saya kuat untuk terus sambung belajar. Berbekal nestum & RM50 yg diberikan oleh kakak, saya pergi ke Johor. Makcik tolong bayar yuran pertama pengajian master saya. Namun duit makan saya perlu cari sendiri. 

Yuran semester seterusnya saya cari duit sendiri. Saya buat part time tuisyen, part time di kedai photostat & part time mengajar komputer. Macam-macam karenah orang yg saya jumpa. Dua tahun saya survived di Johor. Akhirnya Allah izinkan saya tamat belajar dgn ijazah sarjana.

Dua bulan selepas konvo, Alhamdulillah saya dapat kerja yg sesuai dgn kelulusan saya. Kerja yg buat ayah tiba-tiba mencari saya semula. Sikit-sikit ayah telefon saya untuk minta duit. Minta duit untuk baiki kereta, untuk road tax, untuk baiki itu ini, untuk anak-anak ayah dgn isteri nombor dua. 

Kerja ayah asyik minta duit saja. Bila saya buka mulut sikit, isteri ketiga ayah cop saya anak derhaka. Anak tak kenang budi. Ayah pun sama. Sampai pernah nak buang saya & tak nak anggap saya anak sebab asyik bergaduh dgn mak tiri. 

Ya, saya dah besar & berumur 25 tahun pd masa itu. Dah pandai nak melawan cakap isteri ayah. Ayah pula pantang kalau kita cakap buruk tentang isterinya. Paling terkilan bila ayah tengking saya & kata saya kena hormat ‘mama’ sebab dia pengganti mak. 

“Selamat ayah dah kahwin dgn mama sebelum mak mati. Kalau tak, tak ada siapa nak jaga sakit demam ayah…”

Ayah memang mempertahan isteri ketiganya 100%. Memang sakit hati bila ayah asyik menangkan isterinya sampai anak-anak ayah bersama isteri nombor dua pun langsung ayah tak tanya khabar. Bila mereka telefon meminta duit darinya, ayah marah. Saya dapat tahu sampai salah seorang anak ayah berhenti sekolah ketika di tingkatan satu kerana tak sanggup dibuli kawan. Saya memang tak sampai hati tengok mereka. Ada jg bulan2 saya kirim duit. Walaupun isteri kedua jg pernah merampas ayah saya, sikit pun saya tak berdendam.

Saya selalu kena marah dgn ayah setiap kali saya ingatkan ayah pd tanggungjawabnya terhadap isteri kedua & anak-anaknya bersama isteri kedua. Tapi ayah tak pernah insaf saya dimarahnya & dituduh sbg anak derhaka. Ayah & isteri ketiganya marah betul bila saya suruh ayah bawa balik semula isteri kedua & anak-anak ayah ke Semenanjung. 

“Siapa suruh mereka yg lari dr ayah? Tanggunglah sendiri!”

tak lama kemudian, ayah ceraikan isteri keduanya. Punca cerai & bila waktu cerai saya tak tahu. Ayah langsung tak beritahu.

Beberapa tahun sudah berlalu, ujian untuk ayah & isteri ketiganya pula. Ayah jatuh sakit, kidney failure. Semakin hari ayah semakin sakit. Mak tiri pernah cakap,

“Kalau ini bukan rumah saya, dah lama saya angkat kaki tinggalkan ayah km ini. Tapi rumah ini rumah dia, jadi dia yg kena keluar…”

Saya pd masa itu tak faham ‘hint’ mak tiri. Dia jg cakap yg dia menyesal berkahwin dgn ayah. Lagi pelik dia kata, dia rasa ayah ada pakai minyak guna-guna untuk buat dia kahwin dgn ayah. 

Ayah asyik keluar masuk wad, sampai mak tiri tak boleh menahan sabar lagi kerana terlalu penat, katanya. Dia sudah tak mahu menjaga ayah lagi, lalu dia menelefon kami. 

“Ambik ayah korang ni. Ayah sendiri pun tak nak jaga! Aku dah tak larat nak jaga dia! Bawa dia balik rumah korang!”

Sekarang, sewaktu saya menulis kisah ini, saya & adik-beradik sdg cuba usahakan ayah tinggal dgn kakak walaupun ayah menolak. Kata ayah dia msh ada rumah & isteri, tak nak tinggal dgn anak-anak. Masalah utama ialah pusat dialisis, kerana pusat dialisis walaupun banyak tapi banyak yg penuh. Kami cuba mencari tempat dialisis yg terdekat dgn rumah kakak.

Memang kami ambil ayah kami. Ya kami ambil balik ayah yg dah berpuluh tahun lupa untuk menyayangi kami. Kami ambil balik ayah yg dirampas dr kami. Kami ambil balik ayah yg langsung lupa tanggungjawabnya pd kami dulu. Kami tak marah, kami tak terkilan. Mungkin Allah memang nak kembalikan ayah pd kami. 

Di hujung usianya, ayah pun dah tak berapa nak elok ingatannya. Semalam, dia tanya kakak saya, 

“Mana mak hang?”

‘Mak’ ialah panggilan ayah untuk mak kerana isteri nombor 2 & nombor 3 dipanggil ‘mama’.

Kakak jawab,

“Mak ada di syurga, ayah..”

Saya hanya mampu menahan sebak dengar cerita kakak. Ayah cari mak tapi waktu ayah cari mak, mak dah tak ada. 

Saya sentiasa mendoakan yg terbaik untuk ayah. Semoga Allah permudahkan usaha kami untuk terus menjaga ayah sehingga ke akhir hayatnya nanti. Semoga kami terus istiqamah & bersabar melayani karenah uzur ayah. 

Ayah, kami anak ayah. Ayah jangan risau, kami tak akan buang ayah. Apa yg kami buang ialah marah & terkilan kami pd ayah suatu masa dulu. Ayah yg ada pd kami nanti ialah ayah kami. Ayah yg mungkin pernah gembira saat kami dilahirkan. Ayah yg mungkin pernah melambung kami masa kecil sampai ketawa berdekah.

Doakan urusan kami lancar, biarlah kami yg menjaga ayah. Ada rahsia Allah di situ. Assalamualaikum.

GruGru

‘Biarlah ayah tak nak balik, satu hari nanti dia pasti balik cari mak & waktu itu mak dah tak ada’ | sentot | 4.5